Thursday, March 19, 2009

Blog JIM Melaka BerPINDAH



Assalamualaikum

Kepada semua pengunjung Blog JIM Melaka

Di sini dimaklumkan bahawa kami telah berpindah kepada laman Blog Rasmi di sini:

http://melaka.jim.org.my/blog


Bagaimanapun, blog ini akan tetap wujud jika berlaku gangguan kepada blog rasmi JIM Melaka.

Harap maklum.

[+] Read More

Tuesday, March 17, 2009

Cuti Sekolah - KITA adalah Event Manager

Assalamu’alaikum wa rahmatullah :-)

Kebiasaan anak akan bertanya, “Apa yang akan kita buat waktu cuti sekolah nanti ayah (atau ibu)?”. Si ayah atau ibu yang kurang periksa akan tergamam atau menjawab dengan bersahaja, “Duduk lah kamu di rumah ulangkaji apa yang patut.” Si anak memuncungkan bibir.

Sebaliknya, ayah atau ibu yang proaktif pula menjawab, “Ha, itu kamu jangan risaukan, ayah dan ibu dah rancangkan program menarik untuk kita sekeluarga”. Si anak tersenyum tahu kedua orang tuanya punya agenda ’surprise’ untuk dirinya.

Ada perbezaan bagi kedua-dua situasi tersebut.

Jikalau ini tidak berlaku atas sebab yang kritikal. Mungkin anda si pembaca yang menyandang tanggungjawab selaku ahli keluarga iaitu sebagai abang, kakak, adik, pakcik, makcik yang berkelapangan dan kreatif, ciptalah suasana yang meriah di rumah atau adakan aktiviti menarik seperti melancong jika punya wang lebih. Boleh juga disemarak dengan aktiviti gotong royong mengecat dan mengemas rumah, membersih semak di ladang dusun datuk nenek ataupun adakan projek rumah seperti mengumpul bahan kitar semula untuk jualan.

Pelbagai perkara dapat dilakukan sewaktu cuti sekolah. Bukan hanya terpaku di depan komputer atau menonton video filem dan menambahkan jam tidur sebagai alasan ganti tidur yang kurang akibat belajar.

Amat penting hubungan sesama keluarga dipupuk. Ada bahasa indah dapat dipelajari dari kehidupan bersama keluarga. Ianya hanya mungkin sekali seumur hidup. Bayangkan pula mereka yang tidak punya keluarga dan sanak saudara untuk berbual. Tiada orang untuk dipanggil anak atau anak saudara. Atau juga tiada insan yang boleh diteriak datuk atau nenek.

Bersyukurlah dan rancanglah untuk bahagia!

[+] Read More

Sunday, March 8, 2009

Pameran Palestin di MMU 10-14 Mac 2009

Program Pameran : Minggu Penghayatan Bumi Palestin
Tempat : MMU Melaka
Tarikh : 10-14 Mac 2009
Masa : 9 pagi - 6.00 petang
Bayaran: PERCUMA

10-13 Mac
Jejak Palestin Exhibition
daripada 6 NGO:

1. Aman Palestin
2. Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Melaka
3. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
4. TERAS
5. Yayasan Amal Negeri Melaka
6. Muslim Aid

venue at: CLCR Concourse MMU Melaka

14 Mac 2009
Palestine Charity Night
- YB Mukhriz Mahathir from Aman Malaysia
- persembahan artis MUADZ, Pentomin, Drama, Puisi dan banyak lagi

Hubungi:
013 - 9745009 : Wan Haffiz
017 - 6687496 : Wani

-----------------------------------

Apa yang menarik semasa Pameran Palestin di MMU Melaka 10-14 Mac ini?
  1. Sejarah Palestin
  2. Palestin dan Agama Utama Dunia
  3. Palestin dan Kepentingannya pada Umat Islam
  4. Palestin dan Rakyat Malaysia
  5. Penerangan bagaimana rakyat Malaysia boleh bantu Palestin
  6. Jualan Barangan Palestin
  7. INFAQ (Sumbangan) kepada Palestin
  8. Pertemuan wakil NGO yang giat berusaha dalam isu Palestin di Malaysia
  9. Fakta Penderitaan yang Ditanggung Rakyat Palestin
  10. Fakta Kekejaman dan Penindasan Israel Terhadap Rakyat Palestin
  11. Usaha yang Realistik oleh Masyarakat Sedunia bagi Membantu Palestin
  12. Masa Depan Palestin
  13. Ketahui kita PUNYA SAUDARA di PALESTIN
  14. dan pelbagai lagi nasyid, video, gambar terkini dan flyer dan poster kempen selamatkan Palestin...
Kesemua maklumat di atas dapat kita lihat di pameran dalam bentuk Risalah (Flyer), Video Multimedia (ada jualan), Kajian Tulisan (Article), Gambar Terkini, Kempen dan sebagainya.

Jemput HADIR dan BERITAHU KELUARGA, JIRAN & KAWAN

[+] Read More

Monday, March 2, 2009

JIM Melaka on Palestine Exhibition in MMU Melaka - 10 -14 March


klik untuk lihat besar

Antara topik pameran yang akan dapat kita lihat sepanjang di sana:
  1. Sejarah Palestin
  2. Palestin dalam Perspektif Islam dan Agama Lain
  3. Kepentingan Palestin kepada Umat Islam
  4. Fakta Penderitaan yang Ditanggung Rakyat Palestin
  5. Fakta Kekejaman dan Penindasan Israel Terhadap Rakyat Palestin
  6. Usaha yang Realistik oleh Masyarakat Sedunia bagi Membantu Palestin
  7. Masa Depan Palestin
Kesemua maklumat di atas dapat kita lihat di pameran dalam bentuk Risalah (Flyer), Video Multimedia (ada jualan), Kajian Tulisan (Article), Gambar Terkini, Kempen dan sebagainya.

Jemput HADIR dan BERITAHU KELUARGA, JIRAN & KAWAN


Type rest of the post here

[+] Read More

Wednesday, February 25, 2009

ISA Bersifat Zalim Bukan Pemulihan

ISA Bersifat Zalim Bukan Pemulihan

24 Februari 2009

1. Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam Forum Bicara Tokoh seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar bertarikh 24 Februari 2009 bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan satu pendekatan pemulihan akhlak dan bukan berbentuk hukuman adalah satu kenyataan bohong.

2. Manakala luahan oleh dua orang bekas tahanan ISA iaitu Zabidi Mohamad, bekas Ahli Arqam dan Faiz Abu Bakar Bafana seorang ahli Jemaah Islamiyyah dalam majlis yang sama lebih merupakan luahan akibat daripada ‘brainwash’ dan tekanan yang berterusan oleh anggota Cawangan Khas untuk meyakinkan mereka bahawa sifat ‘pemulihan’ ISA lebih ringan di banding hukuman di bawah undang-undang lain. Ia juga untuk meyakinkan mereka bahawa mereka telah melakukan kesilapan yang besar dan diberikan peluang kembali ke pangkal jalan. Dalam konteks ini, soalan paling asas yang perlu ditanya ialah apakah kesalahan mereka dan apakah bukti mereka melakukan kesalahan tersebut? Apakah benar pengakuan mereka selepas didesak dan didera berhari-hari?

ISA Mencabul Hak Asasi dan Menghukum Tanpa Bicara

3. Apakah membelasah tahanan separuh mati dan memenjarakan mereka sehingga bertahun-tahun lamanya tanpa perbicaraan dan tanpa bukti termasuk dalam pendekatan pemulihan akhlak? Apakah menyoal siasat mereka selama berhari-hari tanpa tidur yang mencukupi sebahagian daripada pemulihan? Apakah mendesak mereka membuat kenyataan dan pengakuan palsu juga kaedah pemulihan akhlak? Apakah memisahkan isteri dan anak-anak dari mereka serta memecahbelahkan rumah tangga termasuk dalam tafsir pemulihan akhlak? Apakah kemasukan anak-anak mereka ke dalam wad psikiatri akibat sakit jiwa bukan satu penganiayaan? Apakah ini juga sebahagian daripada pendekatan pemulihan akhlak? Sila nafikan jika perkara ini semua tidak berlaku di bawah ISA.

4. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah berkali-kali menegaskan bahawa ISA adalah satu akta yang membenarkan penahanan tanpa had dan tanpa sebarang perbicaraan. Ia bukan saja mencabul hak asasi mangsanya, tetapi turut menganiaya ke semua pihak yang ada pertalian keluarga dengan mangsa tersebut.

5. GMI tetap berpegang kepada prinsip asas deklarasi hak asasi manusia sejagat bahawa sesiapa saja yang ditahan atau dituduh bersalah mestilah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di hadapan hakim yang berwibawa dan disertakan bukti-bukti kukuh yang boleh menyokong pertuduhan tersebut.


Kuasa mutlak dan kabur ISA

6. Sejak ISA diperkenalkan pada tahun 1960 dan setelah melalui pelbagai proses pindaan, namun ia masih tetap mengekalkan ciri utama iaitu tahan tanpa bicara dan pemberian kuasa yang mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan, menghukum, melanjutkan atau membebaskan mangsa ISA. Contohnya dalam kes penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng pada September 2008. Beliau ditahan di bawah ISA kerana Menteri Dalam Negeri ingin menjaga keselamatan beliau. Begitu juga dengan kes Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok yang diselubungi misteri akan sebab musabab mereka ditahan ISA. Aktivis reformasi ditahan pada tahun 2001 dengan tuduhan yang sangat berat iaitu mahu menggulingkan kerajaan melalui kekerasan dengan menggunakan bahan letupan, molotov cocktail dan pelancar roket! Sehingga ke hari ini, bukti tersebut tidak pernah dikemukakan.

7. GMI juga mengambil berat pelbagai kes penyeksaan yang diadu oleh tahanan ISA ketika menjalani siasatan 60 hari pertama di bawah Seksyen 73 dalam Pusat Tahanan Reman Polis. Tahanan mendakwa mereka dibogelkan, dipukul dengan objek keras, diberi makanan yang sudah basi dan bermacam-macam lagi seperti yang dilaporkan dalam kes perbicaraan saman Malek Hussin yang telah memenangi kesnya di mahkamah pada tahun 2007.

8. Tahanan ISA masih terpaksa melalui proses penyiasatan yang dilakukan oleh polis ketika dihantar untuk menjalani apa yang dikatakan proses pemulihan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting (Kemta). Contohnya bekas tahanan ISA Sanjeev Kumar yang ditahan pada awal tahun 2008 telah lumpuh beberapa bulan beliau dihantar ke Kemta. Setakat ini, ada tahanan ISA yang telah ditahan tanpa pernah dibawa ke mahkamah melebihi 7 tahun lamanya. Dr Abdullah bin Daud, seorang bekas pensyarah di sebuah universiti tempatan, telah ditahan sejak Disember 2001 hingga kini. Bagaimanakah nasib anak-isteri yang ditinggalkan oleh beliau?

ISA Menganiaya Tahanan dan Keluarga


9. Kenyataan ini tidak lengkap jika tidak disertakan dengan pelbagai kisah kesukaran ibubapa, isteri dan anak-anak mangsa ISA. Isteri terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan bapa pada anak-anak. Selain terpaksa bekerja untuk mencari rezeki bagi keluarga, isteri terpaksa bermusafir beratus kilometer dari tempat kediaman mereka ke Kemta untuk bertemu suami. Isteri juga menghadapi pelbagai gangguan mental dan fizikal daripada polis cawangan khas (Special Branch) yang dibayar khas untuk memastikan mangsa ISA dan keluarga mereka akan berdiam diri dan menyembunyikan segala pengalaman buruk mereka sebagai mangsa ISA.

10. GMI juga telah dimaklumkan terdapat empat orang tahanan ISA yang telah bercerai dengan isteri masing-masing ketika mereka masih dalam tahanan. Bukan setakat perceraian, ada anak-anak tahanan ISA yang telah disahkan menghadapi masalah mental dan masih mendapatkan rawatan psikiatri disebabkan tidak mendapat bimbingan dan kasih sayang daripada seorang bapa dalam jangkamasa yang terlalu lama.

11. GMI ingin mengulangi bahawa SUHAKAM, sebuah badan hak asasi kerajaan yang ditubuhkan khas untuk menjaga hak asasi rakyat Malaysia, telah mengesyorkan sejak 2003 lagi supaya ISA dimansuhkan dengan segera kerana penggunaannya telah terbukti mencabul hak asasi manusia dan lebih memudaratkan dari membawa kebaikan kepada mangsanya.

ISA Zalim dan Kejam

12. Berdasarkan fakta di atas, GMI berpendirian bahawa penggunaan ISA lebih banyak mendatangkan mudarat dan penyeksaan kepada orang yang dijadikan mangsanya berbandingkan dengan propaganda bahawa akta itu adalah untuk tujuan pencegahan dan pemulihan semata-mata. Tan Sri Ismail Omar perlu menyemak faktanya dan dua bekas tahanan itu perlu memberikan pendapat seadilnya berdasarkan fakta yang lebih lengkap.

13. Kesimpulannya, ISA bersifat sangat zalim dan kejam. Kepentingan rakyat dan negara amat penting dijaga tetapi bukan dengan jalan menyeksa, menganiaya dan mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara. Langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan ketelusan.

14. Sebagai orang Islam, kita diingatkan akan ayat-ayat Qur’an dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat”.

15. Kezaliman akta ISA bukan saja ditolak oleh Islam, tetapi juga oleh semua agama yang ada di Malaysia . Justeru, GMI masih dengan pendirian bahawa ISA mesti dimansuhkan dan Kem Kamunting perlu segera ditutup.

Mansuhkan ISA!
Bebaskan Tahanan!
Tutup Kemta!

[+] Read More