Friday, March 14, 2008

Pilihanraya Umum ke-12: Masa untuk Memberi Khidmat Terbaik

KENYATAAN MEDIA

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Jumaat 14 Mac 2008

Pilihanraya Umum ke-12: Masa untuk Memberi Khidmat Terbaik

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) bersyukur Pilihanraya Umum ke-12 yang baru lalu telah berjalan dengan lancar. Keputusan pilihanraya juga telah diterima baik oleh parti-parti yang bertanding. Malaysia telah mempamirkan kematangan. Keamanan dan ketenteraman telah terjaga dan negara telah tidak terjerumus ke dalam keadaan huru-hara yang sering mengiringi pilihanraya yang menghasilkan kejutan dan perubahan.

Kita berharap sikap “magnanimous in victory and gracious in defeat” hendaklah terus dihayati.

Rakyat telah bersuara. Rakyat mahukan perubahan tetapi tidak secara menyeluruh (total). Rakyat menerima Barisan Nasional tetapi menuntut perubahan dengan penyingkiran ramai pemimpin kanannya. Rakyat mahukan pemerintahan yang berjiwa rakyat, mesra rakyat, mengutamakan keperluan rakyat, mendengar suara rakyat, mengagihkan kekayaan dengan adil, sistem kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik dan berkesan serta pembenterasan gejala rasuah.

Dengan semua parti-parti politik berperanan sebagai kerajaan dan pembangkang, JIM berharap mereka semua memberikan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

JIM menyeru kepada Barisan Nasional supaya:

  1. lebih responsif kepada suara rakyat agar lebih adil, telus dan meningkatkan pertanggungjawaban (accountability),
  2. Menghayati konsep federalisme dan berlaku adil kepada semua rakyat termasuk di negeri yang tidak diperintah oleh Barisan Nasional. “Collective punishment” hendaklah dielakkan.

JIM menyeru parti-parti PAS, DAP dan PKR supaya:

  1. Menjalinkan kerjasama berasaskan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan serta mendahulukan kepentingan rakyat,
  2. Menunaikan janji-janji kepada rakyat serta mewujudkan pentadbiran yang berkesan (efficient) dan pemerintahan yang adil. “Membalas dendam” hendaklah dihindarkan.

Dengan lanskap politik yang baru ini, JIM berharap suasana harmoni diperkukuhkan, penglibatan rakyat dan masyarakat madani (civil society) dipertingkatkan dan proses check and balance menjadi lebih baik.

JIM akan meneruskan usaha dakwah dan pembaikan berlandaskan Islam demi kebaikan rakyat.

Zaid Kamaruddin

Presiden

[+] Read More