Wednesday, January 28, 2009

Karnival Keamanan Bersamamu Palestin 31 Jan - 8 Feb

Klik untuk lihat jelas

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=386286

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Orang ramai diseru membantu meringankan beban rakyat Palestin di Gaza melalui Karnival Keamanan Bersamamu Palestin yang akan dianjurkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Selangor pada 31 Jan hingga 8 Feb ini.

Karnival itu akan dimulakan dengan aktiviti Kembara Palestin, iaitu acara berkonvoi sebanyak 100 buah kereta, selain kempen jualan amal dan kutipan Tabung Palestin membabitkan beberapa lokasi di sekitar Selangor pada Sabtu ini (31 Jan).

"Pihak kami juga bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Coalition Malaysian NGOs Against Prosecution of Palestinians (COMPLETE) untuk menjayakan Malam Suara Keamanan Palestin pada 31 Jan ini di Dataran Petaling Jaya," kata Yang Dipertua JIM Selangor, Mazmi Kamal pada sidang media di sini hari ini.

"Pemupukan semangat perjuangan membabitkan peringkat seisi keluarga dalam membela rakyat Palestin akan dilakukan melalui Kempen Edaran Sejuta Risalah, selain terdapat gerai jualan amal, kutipan derma, program anak-anak dan remaja yang akan diadakan di Pasar Tani Mega Shah Alam pada 8 Feb ini," katanya.

"Selain itu, terdapat juga program 'Training for Palestine Speakers' (TOPS) dan program 'Disaster Emergency Response' (DERU) sebagai persediaan melatih orang awam yang berminat untuk menjadi sukarelawan berkhidmat ke Gaza," tambahnya.

Segala sumbangan dan dan hasil jualan amal akan disalurkan kepada Federal Islamic Medical Association (FIMA) untuk membantu membiayai bantuan perubatan mangsa perang di Gaza.

"Selain itu, dua sukarelawan ahli JIM daripada cawangan Perak iaitu Ir Megat Sharifudin dan Selamat Aliman telah berlepas semalam dalam misi membantu rakyat Palestin di Gaza.

"Kami menyeru orang ramai daripada semua lapisan masyarakat, kaum dan agama untuk bersama-sama menjayakan program ini sebagai tanda sokongan dan perpaduan terhadap rakyat Palestin dan karnival ini diharap akan dapat sedikit sebanyak memberikan kesedaran tentang penderitaan dan membantu meringankan beban rakyat Palestin di Gaza," ujar Mazmi.

"Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang karnival ini bolehlah melayari laman web www.freedom4palestine.jim.org.my atau menghubungi ibu pejabat JIM Selangor di talian 03-41089669," katanya.

-- BERNAMA

No comments: